JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan menyelaras pelaksanaan solat sunat istisqa' dan khutbah khas di setiap daerah bagi mendoakan kemarau yang melanda negeri ini segera berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri memandang serius keadaan kemarau yang berlaku di beberapa tempat dalam negara khususnya di negeri Johor.

Beliau berkata pada hari ini solat sunat berkenaan telah dilaksanakan oleh pentadbiran daerah Kluang dengan kerjasama JAIJ di Empangan Sembrong di sini.

"Berdasarkan kiraan Indeks Laporan Pemantauan Kemarau (SPI) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi Laporan Pemantauan Kemarau Mac 2024 merekodkan bahawa SPI di Stesen Meteorologi Kluang berada pada skala kering dan sangat kering," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

-- BERNAMA