JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat banyak inisiatif dan perancangan daripada pihak kementerian itu dan kerajaan negeri sedang giat dijalankan, dalam usaha memastikan sektor pelancongan di Johor terus berkembang maju.

"Kerajaan negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kerana menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor.

"Semoga semua cadangan serta pandangan akan dipertimbangkan agar sektor pelancongan di Johor terus berkembang maju sekali gus mampu mengangkat negeri Johor sebagai destinasi pilihan pelancongan dunia. Insya-Allah," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja untuk menaik taraf Zoo Johor baru bermula dan dijangka siap menjelang suku pertama tahun hadapan.

Terdahulu, Menteri Besar turun padang bersama Tiong dan membawa beliau ke beberapa tempat menarik dalam bandar raya ini. - BERNAMA