Presiden Indonesia Joko Widodo berkongsi keterujaan beliau menaiki kereta yang dipandu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan dua harinya ke Malaysia, yang berakhir pada Jumaat.

Dr Mahathir pada Jumaat membawa Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi ke majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau di Seri Perdana menaiki Proton Persona.

"Bapak Tun Mahathir sungguh pemimpin senior yang enerjik dan pekerja keras. Bukan hanya soal urusan negara, mobil pun beliau setir sendiri.

"Bisa ngebut juga. Ini kali kedua saya menumpang di mobil yang dikemudikan Bapak Tun Mahathir," tulis beliau melalui perkongsian video di laman Twitter rasminya, hari ini.

Dr Mahathir memandu Persona berwarna merah dengan nombor pendaftaran B 2367 A dengan diikuti kenderaan yang membawa delegasi lain dari Indonesia.

Ia merupakan kali kedua-dua pemimpin itu berkongsi kereta dipandu Dr Mahathir selepas kali pertama pada Februari 2015 apabila Dr Mahathir memandu uji Proton Iriz di litar uji Sepang.

-- BERNAMA