Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jokowi seru pemimpin, rakyat perkukuh keamanan menerusi persefahaman bersama

GEORGE TOWN, 5 Sept - Bekas Presiden Indonesia Joko Widodo (dua, kanan) bersalaman dengan Pengasas Bersama Commonwealth of World Chinatowns (CWC) Lee Khai (kiri) pada Majlis Makan Malam sempena Penang Peace Dialogue 2026 di sebuah hotel malam ini. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jokowi (dua, kanan) bersalaman dengan Pengasas Bersama Commonwealth of World Chinatowns (CWC) Lee Khai (kiri) pada Majlis Makan Malam sempena Penang Peace Dialogue 2026 di sebuah hotel malam ini. Turut hadir, Chow. - Gambar Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Bekas Presiden Indonesia Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, menyeru para pemimpin serta rakyat supaya memperkukuh persefahaman bersama, dan menyifatkannya sebagai asas kepada keamanan yang berkekalan.

Ketika merasmikan Dialog Keamanan Pulau Pinang bersama dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini malam ini, beliau berkata para pemimpin perlu memahami dan memberi respons kepada kebimbangan serta masa depan rakyat.

“Dalam keadaan seperti ini, peranan pemimpin amat penting... seorang pemimpin bukan sekadar individu yang memahami strategi dan kuasa tetapi juga seseorang yang benar-benar memahami rakyatnya, mendengar suara mereka, merasai kebimbangan mereka, memahami masalah mereka dan berusaha untuk masa depan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Jokowi berkata tanggungjawab untuk membina keamanan bukan hanya terletak pada pemimpin semata-mata sebaliknya rakyat juga perlu memahami hala tuju dan cabaran yang didepani pemimpin mereka.

Beliau berkata masyarakat yang kukuh bukan sekadar berani mendesak tetapi juga memahami hala tuju dan cabaran yang dihadapi oleh pemimpin mereka.

Menyifatkan dialog itu sebagai wadah untuk berkongsi pandangan, belajar antara satu sama lain dan bekerjasama ke arah keamanan serta masa depan yang lebih baik, Jokowi berharap dialog berkenaan mampu membawa kepada tindakan yang bermakna.

Sementara itu, Chow berkata kepercayaan hendaklah dilihat sebagai prasarana penting dalam menjalinkan kerjasama kerana ia amat diperlukan bagi memastikan negara-negara terus berhubung dan bekerjasama dalam mendepani peningkatan persaingan strategik serta kepentingan yang semakin berbeza.

Beliau berkata keterhubungan global telah membuka peluang ekonomi kepada Pulau Pinang menerusi sektor pembuatan, semikonduktor dan teknologi namun pada masa sama, mendedahkan ekonomi kepada gangguan apabila perpecahan merentasi sempadan serta rantaian bekalan semakin ketara.

“Dalam dunia yang semakin bersifat multipolar, kepercayaan juga perlu menjadi asas kepada kerjasama. Keterhubungan mampu merapatkan silaturahim antara negara namun kepercayaan yang membolehkan hubungan itu terus terpelihara apabila kepentingan mula berbeza,” katanya.

Chow berkata negara dan masyarakat tidak semestinya perlu bersetuju dalam setiap isu namun mereka perlu memahami perbezaan kepentingan, mengekalkan komunikasi secara terbuka serta mengenal pasti ruang yang masih membolehkan kerjasama diteruskan.

Bertemakan “Bridging Civilisations in a Multipolar World”, dialog dua hari itu ialah acara kemuncak Siri Persidangan Komanwel Chinatown Sedunia di Pulau Pinang, yang menghimpunkan kira-kira 200 perwakilan, dan Jokowi dijadual menyampaikan ucaptama esok.

CWC ialah inisiatif bagi merapatkan hubungan antara Chinatown di seluruh dunia bermula dengan Pulau Pinang dan Singapura selain menggalakkan pertukaran dalam pelbagai bidang melangkaui budaya serta tradisi masyarakat Cina seperti seni, budaya, sejarah, sains, teknologi dan penyelidikan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement