JITRA: Tindakan pemandu kenderaan perdagangan mengambil dadah untuk bertahan lama untuk pemanduan menerima padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.
Ini terbukti apabila seorang pemandu lori muatan simen ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra (arah selatan), malam tadi.
Pemandu berusia 43 tahun ini turut dikesan mempunyai rekod kesalahan berulang dalam pengambilan bahan terlarang itu ketika memandu.
Gagal ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pemandu yang berasal dari Pendang itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki itu antara enam individu yang diarahkan menjalani ujian air kencing dan mengakui mengambil bahan terlarang itu dengan alasan untuk mengelakkan rasa mengantuk ketika memandu.
Katanya, ini merupakan kesalahan berulang bagi pemandu terbabit.
“Pemandu mengaku sendiri sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan yang sama jadi ini merupakan ulangan daripada kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
“Saya harap pemandu yang memandu jarak jauh supaya tidak menggunakan alasan mengambil dadah bagi tujuan bertahan lebih lama tidak mengantuk dan sebagainya, ini kerana bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
“Banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengelakan mengantuk dan sebagainya seperti rehat lebih dan sepanjang lebuh raya mempunyai kawasan rawat dan rehat (RnR) untuk berehat, bila dah tahu perjalanan itu akan mengambil masa yang lama kena pastikan bahawa bukan setakat rehat pastikan diri juga dalam keadaan sihat sebelum memandu,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, malam tadi.
Stien berkata pemandu terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata, JPJ Malaysia melaksanakan Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan bermula 1 Julai lepas dan operasi berkenaan masih dijalankan sehingga kini bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu.
Jelasnya, operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan saringan pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan penyalahgunaan dadah serta kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya, termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen penguat kuasa JPJ, terminal bas serta jalan raya negeri dan persekutuan.
Stien berkata sekiranya seseorang pemandu didapati positif dadah dan diambil tindakan oleh AADK, JPJ turut akan melaksanakan tindakan pentadbiran mengikut peruntukan yang sedang berkuat kuasa, termasuk menahan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional sehingga siasatan serta tindakan AADK selesai.