Skip to main content

Malaysia

JPJ Kedah tingkat penguatkuasaan di 91 'hotspot' kemalangan

fotoBERNAMA
Dzowahir (tujuh, kiri) dan Van Lutam (dua, kanan) ketika hadir ke Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah, hari ini. - Gambar/ Bernama

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di 91 kawasan hotspot di negeri ini, yang kerap berlaku kemalangan, bersempena dengan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata daerah Kuala Muda, Kota Setar dan Kulim antara yang mempunyai banyak kawasan kerap berlaku kemalangan dan tiga daerah ini mencatatkan jumlah nahas tertinggi pada 2023 hingga 2025.

Advertisement

“Berdasarkan statistik, pada 2023, Kuala Muda mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi, iaitu 7,132 kes diikuti Kota Setar (5,378 kes) dan Kulim (4,043), manakala pada 2024, Kuala Muda masih mencatatkan jumlah kemalangan paling banyak dengan (7,811 kes), diikuti Kota Setar (6,165 kes) dan Kulim (5,392 kes).

“Pada 2025, jumlah kemalangan di Kuala Muda meningkat kepada 8,152 kes, diikuti Kulim (5,745 kes) dan Kota Setar (5,667 kes). Rondaan dan penguatkuasaan ini bukan pada musim perayaan sahaja tetapi setiap hari kerana kita mahu mengurangkan kes kemalangan di negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika hadir ke Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah, yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani. 

Dalam pada itu, Van Lutam berkata sepanjang operasi, pihaknya akan menumpukan kepada sembilan kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya, iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.

“Kesalahan lain, termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, lebih muatan dan kenderaan berat di lorong laju. JPJ juga akan membuat rondaan dan penyamaran terhadap kenderaan pengangkutan awam.

“Kita harap pengusaha pengangkutan awam dapat mematuhi semua undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelak kemalangan. Penumpang juga diingatkan untuk memakai tali pinggang yang disediakan kerana jika gagal, saman boleh dikeluarkan terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, Dzowahir yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah berkata jumlah kemalangan yang direkodkan di negeri ini membimbangkan, dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita tidak mahu jumlah kemalangan di negeri ini terus meningkat. Antara punca utama kemalangan disebabkan oleh sikap pemandu itu sendiri, jangan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, pastikan jalan raya ini selamat untuk digunakan oleh semua orang,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video