Skip to main content

Malaysia

JPJ keluar 1,328 notis saman pemandu warga asing di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 3 Jun -- Keadaan di laluan utama sekitar bandaraya George Town sesak walaupun pada hari bekerja berikutan orang ramai mengambil peluang berkunjung ke tempat-tempat menarik selepas peralihan Fasa ke Endemik sejak April lepas ketika tinjauan hari ini.  BERNAMA
Sebanyak 19,239 kenderaan dipandu warga asing telah diperiksa, dengan 638 kenderaan diambil tindakan, sejak Januari lalu. - Gambar hiasan
Advertisement

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 1,328 notis saman terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan sejak 1 Jan lepas, selain menyita 178 kenderaan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata dalam tempoh itu sehingga hari ini, sebanyak 19,239 kenderaan dipandu warga asing telah diperiksa, dengan 638 kenderaan diambil tindakan.

“Operasi ini bertujuan membanteras kegiatan pemandu warga asing yang memandu atau mengendalikan kenderaan motor tanpa kelayakan, iaitu tanpa lesen memandu sah.

“Selain itu, operasi ini turut memberi tumpuan kepada pengesanan dan tindakan terhadap pemilik kenderaan yang didapati membenarkan atau menyerahkan kenderaan mereka untuk dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya pada sidang media di JPJ Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Zulkifly berkata motosikal merekodkan jumlah tertinggi dengan 478 kenderaan diambil tindakan dan 154 disita, diikuti motokar yang mencatat 154 tindakan serta 18 sitaan.

Beliau berkata operasi itu turut mengesan warga asing dari China dan Myanmar memandu kenderaan mewah, termasuk golongan profesional yang memiliki kenderaan sendiri.

Katanya siasatan turut mendapati terdapat warga asing membeli motosikal menggunakan nama warga tempatan, selain ada pemilik tempatan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing.

“Kesalahan yang paling banyak kita kesan ialah pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu. Bagi kesalahan ini, pemandu diambil tindakan dan pemilik kenderaan juga kita ambil tindakan kerana membenarkan pemandu memandu kenderaan tersebut tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.

Beliau berkata JPJ Pulau Pinang akan terus mempergiat Op Khas PeWA bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya terus diperkukuh demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement