MALAYSIA
JPJ keluarkan 1,194 saman tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas

Aedy Fadly (tengah) memeriksa komponen pendawaian elektrik tambahan di dalam sebuah bas ketika melakukan tinjauan di sebuah kilang pembuatan badan bas di Telok Gong, Klang, pada Rabu. - Gambar Bernama
KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 1,194 saman terhadap pemandu serta penumpang bas di seluruh negara menerusi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dilaksanakan bermula 1 Julai lepas.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, 1,108 saman dikenakan terhadap penumpang, diikuti pemandu (62) serta 24 kes lagi melibatkan tidak memasang tali pinggang keledar.
Beliau berkata, antara alasan yang diberikan adalah tidak tahu pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan dan penguatkuasaan mengenainya telah diwartakan.
"Alasan ini tidak dapat diterima kerana semakan mendapati kebanyakan pengendali bas dan pemandu sudah membuat pengumuman atau meletakkan notis mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar," katanya pada sidang media selepas melawat kilang pembuatan badan bas Pioneer Coachbuilder Sdn Bhd di Telok Gong, di sini, pada Rabu.Aedy Fadly berkata, pelancong atau bukan warganegara juga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan mengikut peruntukan sedia ada sekiranya melakukan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar ketika berada di dalam bas.
Beliau berkata, bagaimanapun secara keseluruhan, kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan persiaran dilihat semakin meningkat berbanding sebelum ini susulan kerjasama pengendali bas yang mengambil langkah proaktif memberi peringatan kepada penumpang.
"Secara keseluruhan kita nampak pematuhan makin meningkat, penumpang juga semakin faham kepentingan memakai tali pinggang keledar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami