Pemandu dan kenderaan yang terlibat dengan perkhidmatan Uber dan Grabcar tidak akan disenarai hitam asalkan mengikuti prosedur sedia ada serta memiliki insurans yang sah.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan di sini pada Isnin berkata dakwaan kononnya pemandu Uber dan Grabcar dilarang memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing adalah tidak benar sama sekali.

"JPJ menafikan laporan yang tular di media sosial WhatsApp baru-baru ini bahawa kenderaan yang terlibat dengan kegiatan Uber dan Grabcar adalah dilarang memperbaharui cukai jalan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, laporan yang kononnya dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ dan ditularkan ke media sosial berhubung arahan berkenaan boleh mengelirukan banyak pihak.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada berhubung sebarang maklumat yang diperoleh dan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mereka boleh merujuk terus kepada jabatan ini serta tidak terbabit menyebarkan maklumat palsu," katanya.

-- BERNAMA