MALAYSIA
JPJ N.Sembilan keluar 243 saman penumpang bas tidak pakai tali pinggang keledar

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 243 saman kepada penumpang bas persiaran dan ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar sepanjang operasi khas bagi tempoh sebulan mulai 1 Julai lepas. - Foto hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 243 saman kepada penumpang bas persiaran dan ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar sepanjang operasi khas bagi tempoh sebulan mulai 1 Julai lepas.
Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata daripada jumlah itu, 72 kes membabitkan warga tempatan dan 171 kes melibatkan warga asing.
"Selain itu, dalam operasi itu juga, 92 bas dinaiki oleh anggota JPJ yang membuat penyamaran bagi meningkatkan persepsi untuk ditangkap (POBC) kepada pemandu dan juga penumpang bas.
"Bagaimanapun, masih ada penumpang bas yang mengabaikan aspek keselamatan dengan melanggar peraturan pemakaian tali pinggang keledar seperti yang telah ditetapkan dalam undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Beliau menasihati pemandu dan penumpang kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan dan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesedaran dan pematuhan meningkat dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami