Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis memperoleh hasil sebanyak RM45.17 juta melalui pembidaan nombor pendaftaran kenderaan dari tahun 2015 sehingga tahun lepas.

Pengarahnya Shahrul Azhar Mat Dali berkata kutipan tertinggi berjumlah RM12.2 juta adalah bagi nombor siri pendaftaran RR tahun lepas.

"Bidaan tertinggi dalam sejarah JPJ Perlis ialah nombor RR6 bernilai RM459,800," katanya kepada media semasa ditemui pada sambutan Riang Ria Aidilfitri JPJ Perlis di sini, malam tadi.

Shahrul Azhar berkata bagi tahun ini, JPJ Perlis memperoleh hasil melalui bidaan nombor-nombor pendaftaran kenderaan berjumlah RM12.07 juta.

Katanya, tawaran bidaan terbaharu nombor siri RY 1 hingga RY 9999 telah dibuka kepada orang ramai pada 5 Julai lepas dan akan ditutup pada pukul 12 tengah hari, 18 Julai ini.

-- BERNAMA