SEPANG: Kegiatan 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram dengan bayaran RM150 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, ke ibu negara dikesan pihak berkuasa menerusi serbuan pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, dua pemandu kenderaan jenis Perodua Axia dan Honda BRV telah ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu berusia 42 dan 50 tahun itu menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dengan mengenakan tambang kepada pelancong asing antara RM100 hingga RM150 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur.

"JPJ telah menyita dua kenderaan itu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Tindakan ini memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit salah," ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Katanya, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya. -Sinar Harian