SEPANG: Faktor kestabilan politik telah menyumbang dan membantu negara menuju ke arah Fasa Peralihan Endemik yang berkuatkuasa bermula hari ini (1 April).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu juga merupakan hasil kerjasama barisan Menteri dan pihak Jawatankuasa Kuartet COVID-19 yang bertanggungjawab mengenainya.

“Ini sememangnya usaha kerajaan menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah meletakkan satu ‘exit plan’ yang jelas.

“Perdana Menteri telah meminta saya dan menteri-menteri lain jadi kita melihat bahawa ini juga adalah pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara.

"Saya melihat kestabilan politik kepimpinan kerajaan banyak membantu untuk kita sampai ke tarikh keramat ini di mana bukan hanya buka sempadan tetapi untuk melonggarkan juga SOP (prosedur operasi standard) lain,” katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Jumaat.

SEMUA MENGENAI PEMBUKAAN SEMPADAN NEGARA DI SINI

[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan sempena buka sempadan | 1 April 2022

Mengulas mengenai hari pertama pembukaan semula sempadan negara, Khairy berkata pihaknya berpuas hati dengan proses perjalanan yang berlangsung sepanjang hari ini termasuk untuk memastikan protokol dan SOP kesihatan dipatuhi.

Ini juga termasuk dengan penugasan pihak terlibat yang telah ditempatkan di setiap kawasan untuk memantau proses pembukaan semula sempadan negara.

“Pembukaan semula sempadan hari ini berjalan lancar dan secara keseluruhannya KKM (Kementerian Kesihatan) sangat puas hati dengan pembukaan sempadan sama ada sempadan pintu masuk antarabangsa udara dan darat.

“Seramai 346 anggota kesihatan ditugaskan bagi setiap syif di 75 pintu masuk antarabangsa di seluruh negara yang mula beroperasi hari ini.

“Di KLIA  dan klia2, jumlah anggota kesihatan yang ditugaskan ialah 250 orang,” katanya lagi.

Terdahulu, Khairy turut meluangkan masa beberapa jam di klia2 untuk meninjau keadaan sempena hari pertama pembukaan sempadan negara.