PUTRAJAYA: Jumlah kes COVID-19 menurun sebanyak 25.6 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME 31/2023) iaitu bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos lepas kepada 695 kes berbanding 934 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki ke fasiliti kesihatan awam tidak berubah, kekal 2.2 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 31/2023 berbanding ME 30/2023.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah satu peratus pada ME 31/2023 manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula adalah sebanyak tujuh peratus.

Sehingga ME 30/2023, hasil aktiviti survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 18 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif dua peratus, manakala 60 sampel SARI pula dengan kadar positif tiga peratus, katanya.

Dr Muhammad Radzi pada ME 31/2023, sebanyak 93 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 75 kes Variant of Concern (VOC) dan 18 kes Variant of Interest (VOI).

Sehingga kini, katanya jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan sublineages adalah 377 kes dengan 376 kes tempatan dan satu kes import.

Pecahan kes merangkumi 100 kes di Sarawak, Selangor 76 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 64 kes, Melaka (58 kes), Pulau Pinang (26), Johor (13), masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Terengganu, enam kes di Putrajaya, lima kes di Kedah, masing-masing empat kes di Perak dan Perlis, tiga kes di Sabah dan masing-masing satu kes di Kelantan dan Pahang.

Dr Muhammad Radzi berkata berdasarkan data sehingga hari ini 16,326,951 penduduk Malaysia atau 50 peratus telah menerima dos penggalak pertama dan hanya 824,746 penduduk atau tiga peratus telah menerima dos penggalak kedua.

Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini, Dr Muhammad Radzi berkata orang ramai dinasihatkan mengikuti beberapa saranan kesihatan supaya proses pengundian berjalan dengan selamat serta mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Antaranya ialah individu positif COVID-19 dikehendaki memakai pelitup muka, pengundi positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing, atau singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

-- BERNAMA