KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah berkurangan kepada 164 orang setakat 4 petang, berbanding 192 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan kesemua mangsa daripada 70 keluarga dari Kampung Teroi Bukit, Kampung Titi Teras dan Kampung Sedaka Tengah di daerah Yan itu ditempatkan di tiga PPS.
Menurut sekretariat itu, 76 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng (34) dan PPS Dewan Lestari Guar Chempedak (54).
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata Dewan Batu 5 di Kangar masih beroperasi sebagai pusat transit yang menempatkan 17 mangsa daripada tujuh keluarga setakat 4 petang tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan banjir di kawasan kediaman mangsa di Kampung Telok Air semakin surut.
Mohd Izaimi berkata dewan itu dibuka pada 1.50 pagi Isnin lepas dan setakat ini belum ada PPS dibuka secara rasmi di Perlis.
-- BERNAMA