KUALA LUMPUR: Situasi banjir semakin bertambah baik di Melaka, Pahang dan Johor apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan petang ini.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa turun kepada 315 orang daripada 85 keluarga petang ini berbanding 341 mangsa daripada 91 keluarga pagi tadi, dengan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan jumlah mangsa banjir sedikit menurun petang ini kepada 292 orang berbanding 301 individu pagi tadi.

Kesemua mangsa daripada 85 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS, dengan Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 161 orang diikuti Rompin (79) dan Maran (52).

Di JOHOR, banjir semakin surut dengan jumlah yang berada di PPS menurun kepada 3,441 orang setakat pukul 4 petang ini berbanding 3,714 orang, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 46 PPS, dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,446 orang, diikuti Muar (1,180), Tangkak (686) dan Batu Pahat (129).

"Sebuah PPS ditutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Dalam di Segamat berikutan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Cuaca ketika ini dilaporkan cerah melainkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Segamat dan Kota Tinggi yang mendung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata lima sungai masih di paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, serta Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Liang Batu, dan Sungai Muar di Bukit Kepong yang kesemuanya di Muar.

-- BERNAMA