Keadaan banjir di Pahang, Perak dan Kelantan beransur reda dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan terus mencatatkan penurunan kepada 31,800 orang berbanding 34,240 orang malam tadi.

Bilangan mangsa di pusat pemindahan banjir di Johor pula tidak berubah dengan jumlah mangsa kekal 20 orang sejak Ahad lepas dan kesemua mereka di tempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat.

Di PAHANG, keadaan banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di 106 pusat pemindahan di enam daerah terus berkurangan kepada 21,471 orang berbanding 22,896 orang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata mangsa di Pekan masih merekodkan jumlah pemindahan paling ramai iaitu 11,154 orang diikuti Temerloh (4,662), Maran (2,779), Kuantan (1,130), Bera (1,091) dan Jerantut (655).

Jumlah mangsa banjir di PERAK pagi ini menurun kepada 5,545 mangsa daripada 1,562 keluarga berbanding 5,742 mangsa daripada 1,598 keluarga malam tadi susulan cuaca baik sejak semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 32 pusat pemindahan dengan daerah Perak Tengah menempatkan mangsa paling ramai iaitu 4,409 orang, diikuti Hulu Perak (606), Hilir Perak (304), Manjung (150) dan Kuala Kangsar (76).

Di KELANTAN, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri berkata sejumlah 4,784 mangsa direkodkan setakat 8 pagi ini di pusat pemindahan di empat jajahan berbanding 5,602 malam tadi.
Kuala Krai merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,522 orang, diikuti Gua Musang (1,681), Tanah Merah (387) dan Machang (194).

Bilangan mangsa di pusat pemindahan banjir di JOHOR pula tidak berubah dengan 20 orang dari lima keluarga sejak Ahad lepas.

Mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri.