MALAYSIA
Jurujual didakwa tipu urusan jual beli sarung tangan berjumlah RM5.1 juta

P Dinesh didakwa menipu seorang individu supaya mempercayai bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis Coats Nitrile Examination berjenama Hartalega telah sedia ada di gudang Hartalega. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu melibatkan urusan jual beli sarung tangan berjumlah RM5.1 juta, lima tahun lepas.
Ringkasan AI
- Seorang jurujual didakwa menipu urusan jual beli sarung tangan bernilai RM5.1 juta, dengan mendakwa stok 150,000 kotak sarung tangan Hartalega wujud di gudang, sedangkan ia tidak benar.
- Kesalahan dilakukan pada 9 November 2020 dan tertuduh dihadapkan di Mahkamah Sesyen, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan; jaminan ditetapkan RM100,000 dengan syarat tambahan.
- Pengarah syarikat Aspen Broadway turut didakwa sebelum ini atas pertuduhan berkaitan kes sama, termasuk pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM5.1 juta menerusi sebuah firma guaman ke dalam akaun bank milik sebuah firma guaman lain yang dilantik Aspen Broadway sebagai peguam syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, dekat sini pada 9 Nov 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Akmal Mohd Taufik yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan serta menanggung isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Feb lepas, pengarah syarikat Aspen Broadway Sdn Bhd R Gopinatan Pillai didakwa atas satu pertuduhan menipu dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi jual beli sarung tangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami