SHAH ALAM:Satu lagi laporan berhubung kes cabul membabitkan personaliti program realiti diterima polis hari ini.

Laporan kesembilan terhadap personaliti berkenaan melibatkan mangsa seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Mangsa mendakwa dia dicabul oleh suspek pada Disember tahun di sebuah unit studio di Seksyen 7 di sini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, mangsa yang berusia 26 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Ahad lalu dan kes berkenaan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Difahamkan, mangsa mengenali suspek menerusi media sosial pada 2018 dan mula berkawan sejak itu.

"Modus operandi suspek sama seperti kes sebelum ini yang dia akan mengajak mangsa keluar makan sebelum membawa mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu mengambil barang. Semasa di rumah, suspek didakwa memeluk mangsa dari belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Seri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.

BACA: Polis terima 8 laporan salah laku seksual penceramah selebriti

BACA: Lagi laporan salah laku seks penceramah bebas, polis tubuh pasukan siasatan khas - Bukit Aman


BACA: Mangsa terperdaya dengan gaya, cara bercakap pendakwah selebriti yang direman - Polis


Noor Azam berkata, laporan terbaharu yang dibuat oleh jururawat berkenaan menjadikan pihaknya menerima sembilan laporan daripada mangsa berhubung dakwaan merogol dan mencabul oleh bekas peserta program realiti keagamaan itu.

Dua daripada sembilan laporan itu, bagaimanapun, kata Noor Azam, diklasifikasikan oleh polis sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Dalam masa sama, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan dengan meihat dari segenap aspek termasuk mengumpul maklumat berkaitan.

"Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut. Suspek kini masih dalam perintah reman hingga Jumaat," katanya.

Suspek yang berusia 25 tahun ditahan pada 26 November lalu susulan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam dan dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula 27 November bagi membantu siasatan.

Perintah reman ke atas suspek sehingga Jumaat ini dibuat bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Sebelum ini polis Petaling Jaya menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).