Skip to main content

Malaysia

Juruteknik mengaku tidak bersalah pandu melulu sebabkan tiga kematian

Sumber: Sinar Harian
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pekan selepas selesai pertuduhan pada Isnin. - Foto Sinar Harian
Advertisement

PEKAN: Seorang juruteknik sebuah syarikat pembekal peralatan pertanian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan memandu melulu sehingga menyebabkan kemalangan meragut tiga nyawa termasuk dua beranak di Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Jun lalu.

Tertuduh, Syed Muhammad Izzar Aiman Syed Ahmad, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Berdasarkan pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Kamisah Ismail, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-MAX secara melulu hingga menyebabkan kematian Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan,33, anak perempuannya,Dhea Sofia, 2 dan seorang lagi pemandu, Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5.30 petang di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada 19 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin selain memohon agar lesen memandu digantung hingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam, Muhamad Izwan Ishak bagaimanapun membuat rayuan mohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan pendapatan hanya RM1,500 sebulan dan menyara isteri yang kini mengandung tiga bulan.

Muhamad Izwan turut membantah lesen memandu digantung kerana tindakan tersebut akan menjejaskan pekerjaan anak guamnya.

Mengambil kira rayuan tertuduh Melody Woon mengurangkan jumlah jaminan itu kepada RM7,000 dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung hingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Media sebelum ini melaporkan tiga termasuk seorang doktor maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 67 Jalan Kuantan-Segamat di sini itu.

Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, yang bertugas di Hospital Segamat, Johor dan pegawai kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, Selangor Azaharuddin Mohd Ali, 46, maut di lokasi kejadian.

Anak kepada Dr Mohamad Zekry Zuhairy, Dhea Sofia yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement