MALAYSIA
Kabel rosak punca budak terkena renjatan elektrik di dataran Drawbridge - MBKT

Gambar tular keadaan sebuah tiang elektrik yang dipercayai menyebabkan seorang kanak-kanak terkena renjatan dan telah dirawat di hospital.
KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan insiden renjatan elektrik menimpa seorang kanak-kanak di lokasi jualan trak makanan dekat dataran Drawbridge, di sini berpunca daripada kabel elektrik yang rosak dan menyentuh tiang lampu jalan.
Ringkasan AI
- MBKT mengesahkan insiden renjatan elektrik yang menimpa seorang kanak-kanak di dataran Drawbridge berpunca daripada kabel rosak yang menyentuh tiang lampu jalan.
- Pasukan teknikal MBKT telah membaiki kabel menggunakan kaedah penebatan semula dan sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar bagi mengesan risiko lain.
- MBKT menegaskan pentingnya keselamatan awam dan menyeru orang ramai melaporkan sebarang kerosakan atau aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kabel yang mengalami kerosakan (luka) telah menyentuh tiang lampu bernombor FP2 B1-21 yang menyebabkan berlaku renjatan," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau berkata, pasukan teknikal MBKT telah menjalankan kerja pembaikan segera termasuk penebatan semula kabel menggunakan kaedah heat shrink insulation bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar juga sedang dilakukan secara berperingkat untuk mengenal pasti kabel-kabel lain yang berisiko supaya dapat segera dibaiki," katanya.
Menurutnya, MBKT memandang serius kejadian tersebut dan menegaskan bahawa perbuatan vandalisme terhadap kemudahan awam adalah jenayah yang boleh membahayakan nyawa.
Susulan itu, jelas beliau, MBKT menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kerosakan atau aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan segera diambil demi keselamatan bersama.
"Kami amat bersimpati dengan mangsa dan mendoakan agar kanak-kanak terbabit segera pulih.
"Kita juga tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan awam dan akan terus berusaha memastikan kawasan rekreasi dan kemudahan awam berada dalam keadaan selamat," katanya.
Pada Khamis, tular di media sosial hantaran seorang individu menceritakan keadaan ahli keluarganya yang dipercayai terkena renjatan elektrik di lokasi berkenaan dan telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Hantaran tersebut menarik perhatian ramai dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang sering mengunjungi kawasan itu khususnya ketika waktu puncak dan musim cuti sekolah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami