MALAYSIA
Kabinet akan teliti Nick Adams, setakat ini belum ada permohonan rasmi AS - Tok Mat

Wisma Putra hanya akan memberikan pandangan dan pertimbangan berkaitan pencalonan Adams untuk dibawa ke Kabinet, selepas permohonan diterima. - Gambar fail/ X Nick Adams
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum menerima cadangan daripada Amerika Syarikat (AS) berkait pencalonan aktivis kontroversi, Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Amerika Syarikat berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia, dan Wisma Putra hanya akan memberikan pandangan selepas permohonan diterima secara rasmi.
- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa sebarang keputusan akan dibuat oleh Kabinet selepas penelitian, sambil mengingatkan agar tidak membuat andaian atau keputusan awal tanpa permohonan rasmi.
- Nick Adams, seorang aktivis konservatif yang kontroversi dan dikenali dengan pandangan menentang perjuangan Palestin, telah dicalonkan oleh Presiden Donald Trump dan pencalonannya kini dalam proses pendengaran di Kongres AS.
Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai pelantikan Adams yang terkenal dengan kontroversi termasuk menentang perjuangan Palestin dan menyentuh isu Islam.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis akan dicalonkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.
Beliau telah menghantar notis pencalonan nama-nama duta termasuk Adams, kepada The Senate pada 9 Julai lepas bagi tujuan sesi pendengaran Kongres.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor berkata, isu pencalonan Adams perlu melalui penelitian dan pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tegas beliau, perkara itu akan ditangani dengan sewajarnya, selain pada waktu sama memelihara hubungan baik antara Malaysia dan AS.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, semua pihak perlu menunggu sehinggalah Wisma Putra menerima permohonan perjanjian itu.
"(Ini) kerana kita belum dapat (perjanjian), kita dengar cakap sahaja. Nanti kita tolak... orang kata, kita (mereka) tak minta pun. Nanti malu kita. Jangan kita malu, jangan kita hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami