KUALA LUMPUR: Kehadiran barisan kepimpinan baharu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan akan merancakkan lagi usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu turut optimis pasukan dalam Kabinet berkenaan akan bekerja secara berpasukan dalam menerajui kementerian masing-masing bagi memperkasakan ekonomi dan meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua kepimpinan baharu yang telah dilantik dan selesai mengangkat sumpah jawatan ahli Kabinet dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

"Saya yakin kepimpinan baharu ini dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik, beramanah dan berdedikasi sepanjang perkhidmatan mereka nanti," katanya dalam hantaran di Facebook, petang ini.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

BACA: Senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan

Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan masing-masing kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Menteri baharu yang dilantik ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Ahli Parlimen Damansara dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) manakala Steven Sim Chee Keong, yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, dilantik Menteri Sumber Manusia serta Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II) yang dilantik sebagai senator.

Selain itu terdapat pertukaran portfolio menteri-menteri dan timbalan menteri sedia ada termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang sebelum ini menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi dan kini beralih ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam selain turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Datuk Armizan Mohd Ali daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) kini sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pula kini sebagai Menteri Luar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, sementara Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad kini Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kesemua menteri dan timbalan menteri baharu selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara di sini hari ini.

-- BERNAMA