KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menghadapi risiko cuaca panas dan gelombang haba ekstrem yang boleh menjejaskan bekalan air ke kawasan tanaman padi di Kelantan.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata peruntukan itu, selain RM880,000 yang diluluskan sebelum ini, antaranya akan digunakan untuk membeli pam mudah alih pelbagai kapasiti bagi membantu kawasan sawah yang berdepan dengan masalah kekurangan air.
“Kita memang ambil maklum tentang amaran itu (cuaca ekstrem) dan sekarang kita telah membuat permohonan kepada kementerian untuk peruntukan tambahan bagi menjamin bekalan air walaupun dalam keadaan panas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 di sini, semalam.
Beliau berkata sumber air di Kelantan secara amnya mencukupi, khususnya dari Sungai Kelantan, namun cabaran utama ialah keupayaan KADA menyalurkan air ke kawasan yang memerlukan, terutama ketika kemarau.
Khalid berkata KADA menyasarkan lebih banyak kawasan sawah mencapai hasil sekurang-kurangnya lima tan sehektar bagi musim pertama 2026, berbanding kira-kira 17 hingga 18 peratus pada musim sebelumnya.
Beliau berkata kira-kira 41 peratus kawasan mencatat hasil antara empat hingga kurang lima tan sehektar, kira-kira 40 peratus merekodkan kurang empat tan sehektar, manakala anggaran 10 peratus kawasan atau 2,000 hektar pula hanya mencatat hasil sekitar dua tan sehektar akibat kemarau, menyebabkan purata hasil KADA ialah 4.2 tan sehektar.
KADA, katanya, akan mengenal pasti punca produktiviti rendah termasuk masalah air, penyakit dan musuh tanaman sebelum bantuan serta intervensi bersasar dilaksanakan bagi meningkatkan hasil, dengan sasaran tiada kawasan mencatat hasil di bawah empat tan sehektar dan sebanyak mungkin mencapai lima tan sehektar.
-- BERNAMA