Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang mengendalikan kemudahan Park and Ride di sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menurunkan kadar parkir bermula esok (1Jun).

Mulai 1 Jun, bayaran parkir di Kemudahan Park and Ride bagi pengguna MRT adalah RM4 bagi setiap kemasukan sehari berbanding RM4.30 sebelum ini manakala caj bagi motosikal ialah RM1.00 bagi kemasukan sehari berbanding RM1.10 sebelum ini.

Menurut kenyataan MRT Corp di sini hari ini kadar baharu ini mencerminkan penurunan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus.

"Kemudahan Park and Ride yang dikendalikan oleh MRT Corp adalah di Sungai Buloh, Phileo Damansara, Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih."

Bagi pengguna yang menggunakan kemudahan parkir tetapi tidak menggunakan MRT akan dikenakan kadar parkir yang berbeza bergantung kepada lokasi kemudahan Park and Ride yang digunakan

Menurut kenyataan itu lagi kemudahan parkir lain di sepanjang Laluan SBK seperti di kawasan Damansara, Sentral, Bandar Utama, Pusat Bandar Damansara dan Kajang dikendalikan oleh pihak luar.

MRT Corp telah bertemu pengendali berkenaan dan menasihat mereka agar menyemak semula kadar parkir untuk mencerminkan kadar baharu GST.

Walau bagaimanapun, terpulang kepada pengendali untuk melaksanakan sebarang perubahan pada kadar parkir.

--BERNAMA