MALAYSIA
Kaedah pengeboman air perlahankan kebakaran belukar di Mukah

"Pasukan bomba telah melaksanakan pemantauan udara serta membuat laluan penghadang api bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
SIBU: Kaedah pengeboman air menggunakan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berjaya memperlahankan pergerakan kebakaran terbuka melibatkan kawasan belukar seluas kira-kira 105 hektar di Mukah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah Nicholas Belulin berkata operasi pemadaman yang dilaksanakan itu menggunakan helikopter Mi-171 dengan teknik underslung water bombing.
"Sebanyak empat kali pengeboman dilakukan pada 3.30 petang membabitkan keseluruhan 6,360 liter air yang dilepaskan ke kawasan kebakaran.
"Tindakan pantas ini berjaya memperlahankan pergerakan api dan mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Bernama, awal pagi ini.Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan selepas 42 minit berikutan masalah teknikal pada sistem pesawat.
"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa komponen perlu diganti dan alat ganti akan dihantar oleh pihak penyelenggara melalui jalan darat malam ini," katanya.
Nicholas berkata operasi semalam dijalankan dalam keadaan berjerebu dengan jarak penglihatan sekitar lapan kilometer serta angin bertiup pada kelajuan antara 10 hingga 15 knot.
Beliau berkata kebakaran belukar di Mukah dikesan sejak 24 Julai lepas dan sejak itu usaha pemadaman telah digerakkan secara berperingkat.
"Pasukan bomba telah melaksanakan pemantauan udara serta membuat laluan penghadang api bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan ladang sawit dan kawasan penempatan berhampiran," katanya.
Beliau berkata penggunaan kaedah pengeboman air adalah langkah tambahan selepas keadaan kebakaran menjadi sukar dikawal melalui kaedah pemadaman konvensional di darat disebabkan kawasan yang luas dan sukar diakses.
Nicholas berkata operasi akan disambung semula hari ini sekiranya pesawat berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami