Skip to main content

Malaysia

Kajian dedah kekangan metodologi WJP pengaruh penilaian CPI Malaysia

Sumber: BERNAMA
Kajian berkaitan dengan Indeks Kedaulatan Undang-Undang Malaysia mendapati beberapa kekangan metodologi pengukuran indeks tersebut oleh World Justice Project (WJP) yang memberikan kesan kepada penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, kata Ramalinggam. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kajian berkaitan dengan Indeks Kedaulatan Undang-Undang Malaysia mendapati beberapa kekangan metodologi pengukuran indeks tersebut oleh World Justice Project (WJP) yang memberikan kesan kepada penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, kata Ketua Penyelidik, Prof R Ramalinggam.

Beliau berkata, antara penemuan utama kajian ialah data General Population Poll (GPP) atau tinjauan persepsi awam yang digunakan WJP bagi Malaysia, kali terakhir dikumpulkan pada tahun 2017.

“Reformasi yang berlaku di Malaysia, sama ada undang-undang mahupun institusi, kebanyakannya berlaku dalam tempoh sedekad kebelakangan ini. Sedangkan data selepas itu tidak dikumpulkan.

“Di situ kita nampak kenapa perubahan tidak berlaku, kerana data terkini tidak pun dikumpulkan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Ramalinggam yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia berkata, selain GPP, WJP turut mendapatkan data melalui Qualified Respondents’ Questionnaire (QRQ) yang melibatkan pengamal undang-undang, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain sumber pihak ketiga seperti laporan organisasi antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, laporan WJP tidak mendedahkan jumlah sebenar pakar yang terlibat bagi setiap negara.

“Berdasarkan laporan WJP, dianggarkan bahawa hanya 25 orang pakar terlibat sebagai responden pada tahun 2024, manakala bagi tahun 2025, sekitar 29 orang pakar terlibat bagi sebuah negara.

“Namun, WJP tidak mendedahkan jumlah sebenar bagi setiap negara dan menganggap maklumat itu sulit,” katanya.

Ramalinggam berkata, kajian turut mendapati bahawa banyak pakar yang menjawab soal selidik WJP terdiri daripada individu yang sama pada setiap tahun, sekali gus menyebabkan persepsi yang direkodkan berubah secara perlahan.

“Persepsi ialah sesuatu yang subjektif. Ia boleh terbentuk berdasarkan pengalaman sendiri, pengalaman orang lain atau maklumat yang diterima. Oleh sebab itu, persepsi sukar berubah dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Ramalinggam berkata, penyelidik turut mendapati bahawa walaupun WJP menggunakan tiga sumber data untuk membangunkan Indeks Kedaulatan Undang-Undang, pengukuran CPI bagi Malaysia hanya mengambil kira komponen QRQ daripada WJP.

“Apabila kita sudah memahami metodologi itu, kita tahu di mana ruang penambahbaikan yang boleh diberi perhatian sekiranya negara mahu meningkatkan kedudukannya dalam CPI,” katanya.

Indeks Kedaulatan Undang-Undang yang diterbitkan oleh WJP merupakan antara penanda aras antarabangsa yang mengukur sejauh mana sesebuah negara mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang secara berkesan, telus dan adil.

Ia menilai pelbagai aspek, termasuk tahap keadilan, integriti institusi, keberkesanan sistem kehakiman, akauntabiliti kerajaan, keselamatan awam serta perlindungan hak asasi manusia.

Indeks Kedaulatan Undang-undang mempunyai hubungan rapat dengan CPI kerana pengukuhan kedaulatan undang-undang mencerminkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan, kawalan terhadap penyalahgunaan kuasa dan usaha untuk membanteras rasuah.

Malaysia berada di tempat ke-54 dengan skor 52 dalam CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI).

CPI 2025 adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 182 negara pada skala dari sifar (tahap rasuah paling tinggi) hingga 100 (tahap rasuah sangat rendah).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement