BATU PAHAT: Polis menahan reman sehari, kakak kepada mangsa pembunuhan kejam, Mila Sharmila Samsusah atau Bella di bawah seksyen 15 Akta Kanak- kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan reman sehari terhadap wanita 36 tahun itu selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada Jumaat lalu lebih kurang 12 tengah hari.

Katanya, pengadu menyatakan gambar anaknya berusia empat tahun yang merupakan saksi pendakwaan bersabit satu kes pembunuhan di Batu Pahat telah disebarkan melalui 'live' diaplikasi 'TikTok'.

"Susulan daripada itu, lebih kurang jam 2.10 pagi tadi pihak polis telah menahan seorang wanita warga tempatan, semasa dia tampil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis daerah Batu Pahat.

"Polis juga turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat 'TikTok Live' tersebut bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Ismail, wanita terbabit telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk permohonan reman.

Katanya, Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan wanita itu direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Sek. 15 Akta Kanak- kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan," kata beliau.