Skip to main content

Malaysia

Kaki budak 3 tahun digilis tayar kenderaan bawa bot bomba ketika perarakan Hari Kebangsaan

Puteri Anis Athirah menunjukkan keadaan anaknya yang kini dirawat di Jabatan Kecemasan HSNZ di Kuala Terengganu pada Isnin.
Puteri Anis Athirah menunjukkan keadaan anaknya yang kini dirawat di Jabatan Kecemasan HSNZ di Kuala Terengganu pada Isnin.
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Keseronokan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun melihat persembahan aset pasukan keselamatan sempena sambutan Hari Kemerdekaan bertukar cemas apabila kaki kirinya digilis tayar kenderaan membawa bot bomba dalam kejadian di hadapan Wisma Persekutuan, di sini, pada Isnin.

​Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri selepas terjatuh sewaktu kenderaan pacuan empat roda yang menunda bot berkenaan mula bergerak secara perlahan.

​Ibu mangsa, Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, dari Chendering berkata, dia hadir ke lokasi sambutan bersama tiga anaknya kerana kanak-kanak berkenaan teruja dari rumah lagi untuk melihat aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

​"Semasa kenderaan pembawa bot itu berhenti beberapa kali di hadapan Wisma, anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun, Che Ku Nur Amirah berlari ke hadapan untuk mengambil gambar. Anak lelaki saya pun ikut sama.

​"Bila anggota bomba cuba menggamit dan menolak sedikit dia ke tepi untuk keselamatan sebelum bergerak, anak saya secara tidak sengaja tiba-tiba terjatuh tersembam hingga kaki dia berada di bawah bahagian tayar yang mula bergerak," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.

​Mengimbas detik cemas itu, Puteri Anis Athirah memberitahu dia sendiri menyaksikan kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.

​"Semuanya berlaku terlalu pantas dalam beberapa saat sahaja. Saya terus angkat dia. Syukurlah dia tak mengalami kecederaan dalaman, tidak muntah dan juga tiada kecederaan pada bahagian tulang," katanya.

​Dalam pada itu, Puteri Anis Athirah turut menyatakan penghargaan atas keprihatinan pihak polis yang berada di lokasi bagi mengawal keadaan, selain membantu mengiringi ambulans untuk membawa anaknya ke hospital sekitar jam 10.15 pagi.

​"Hasil ujian sinar-X (X-ray) mendapati tiada sebarang tulang yang patah, tapi doktor pakar kanak-kanak masih lagi buat pemantauan untuk pastikan tahap kesihatan anak saya.

​"Saya tidak menyalahkan anggota bomba atau mana-mana pasukan keselamatan. Mereka bertindak mengawal keselamatan dan pergerakan aset, cuma kejadian ni berlaku secara tidak disengajakan kerana keterujaan anak saya sendiri berjumpa dengan pasukan kegemarannya," jelasnya lagi. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement