Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya akan menjawab sebarang persoalan mengenai isu berkenaan kepada Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sahaja.

Dalam satu kenyataan 1MDB, syarikat itu memberitahu, mereka mengambil perhatian kepada setiap soalan yang ditimbulkan kepadanya di dalam media walaupun dilihat kekurangan bukti.

"Kami hanya menjawab kepada PAC atau AG. Adalah jelas banyak persoalan yang dipaparkan di media selama ini kekurangan fakta, bukti sokongan serta laporan berat sebelah yang cuba membentuk pendapat umum.

"Mencari kebenaran perlu berasaskan fakta dan dikendalikan oleh pihak-pihak yang boleh dipercayai. Ia tidak seharusnya berat sebelah. 'Perbicaraan' oleh pihak media tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak yang benar-benar berminat dalam kebenaran," jelas kenyataan itu.

BACA: Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, jika semua pihak ikhlas mencari kebenaran dalam isu 1MDB, mereka perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah seperti Ketua Audit Negara.

Jelas Najib, maklumat mengenai isu berkenaan tidak sepatutnya diperolehi dari portal berita, pihak ketiga atau mana-mana blog yang mempunyai agenda tersembunyi.

BACA: 1MDB: Pembayaran hutang awal mesti diperjelas, jangan membisu! - Reezal Merican

Dalam pada itu kata kenyataan itu, semua pihak diminta menghormati proses kajian dan prosiding siasatan yang diketuai Ketua Audit Negara.

"Semua perlu hormat proses siasatan seperti yang diarahkan Kabinet dan menunggu hasil perbicaraan PAC yang bermula minggu ini," jelas kenyataan itu.

BACA: 'Jangan menghukum tanpa fakta kukuh' - 1MDB

Sebelum ini, 1MDB menggesa orang awam dan pelbagai pihak untuk bersabar sementara menunggu keputusan semakan bebas oleh Ketua Audit Negara.

"Kami meminta bahawa tidak ada yang menghukum perkara itu tanpa fakta sebelum ulasan didedahkan kepada umum.

"Lembaga mengambil tuduhan berniat jahat dan fitnah secara serius dan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.