Selari dengan usaha kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan ekonomi digital, Kampung Maludam, di Sri Aman tidak terkecuali menikmati inisiatif terbabit.

Mana tidaknya, Kampung Maludam yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, diisytihar sebagai kampung wifi.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, transformasi pendigitalan di luar bandar menjadi keutamaan dan keperluan asas yang perlu dinikmati oleh penduduk.

"Pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, nak digitalize luar bandar itu akan jadi satu pembangunan yang sangat diperlukan, secara tidak langsung melatih penduduk setempat untuk merasai dan terlibat menerusi program MDEC yang dinamakan e-Rezeki. Kalau tak ada wifi, susah untuk berurusan," katanya.

Menurut Rohani, anjakan kepada ekonomi digital sangat strategik, sekali gus mencabar model perniagaan tradisional di luar bandar.

Ia juga antara lain meningkatkan impak ke atas setiap perkara dalam kehidupan dan cara masyarakat mengendalikan perniagaan.

Aspirasi ekonomi digital diumumkan Ketua Menteri Sarawak pada Disember tahun lalu menerusi penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018 sehingga 2022.