KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan masalah kesesakan talian dan kekurangan kapasiti yang menjejaskan kelajuan data mudah alih di Kampung Watt Paya Mat Inson, Pendang, Kedah, bakal diatasi dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut kenyataan media pada Khamis, kerja naik taraf peralatan di menara yang terdapat di kampung itu yang memang sedia ada dalam perancangan kini akan cuba diselesaikan pada Februari 2021.

“Penilaian lanjut akan turut dibuat bagi memastikan kelompongan liputan di kawasan sekitar kampung berkenaan dapat diperbaiki.

“Dengan terlaksananya penaiktarafan ini kelak, penduduk akan dapat menikmati liputan perkhidmatan 4G yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik, terutamanya ketika anak-anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” jelas MCMC.

MCMC akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan naik taraf liputan 3G sedia ada di kampung tersebut kepada 4G, termasuk di kampung sekitar seperti Kampung Baloh dan Kampung Huma.

Perkara itu dimaklumkan dalam sesi dialog antara penduduk bersama Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Kedah, YB Wan Romani Wan Salim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada Rabu.

Sebelum ini, penduduk yang terdiri daripada masyarakat Siam, mengadu proses pembelajaran anak-anak menggunakan saluran dalam talian tidak dapat dilakukan kerana faktor kelajuan jalur lebar yang tidak memuaskan.

Tambah MCMC, dengan terlaksananya penaiktarafan ini kelak, penduduk akan dapat menikmati liputan perkhidmatan 4G yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar lebih baik, terutamanya ketika anak-anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan oleh MCMC bersama syarikat-syarikat telekomunikasi menetapkan sasaran meluaskan liputan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022.

Purata kelajuan Internet mudah alih juga akan ditingkatkan kepada 35Mbps.