Dua orang termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh besi penghadang jalan sebelum terbalik.

Kemalangan berlaku di KM334.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), arah Kuala Terengganu, berhampiran susur keluar Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, Mohamad Nor Mohamad, 28 tahun, dari Felda Keratong 2 dan Syed Namirul Putra Syed Khairul Hissham, 11 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa Syed Namirul Putra, Syed Khairul Hissham Md Akhir, 45 tahun, pula cedera parah selepas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Nor dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lalu terbalik.

Mohamad Nor dan dan Syed Namirul Putra yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Syed Khairul Hissham yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dikeluarkan oleh orang ramai.

Lima anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.47 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Mangsa yang parah juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.