KUALA LUMPUR : Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika ibu bapa kanak-kanak itu sedang tidur.

"Hasil siasatan awal ke atas saksi yang merupakan bapa dan ibu mangsa mengatakan ketika kejadian berlaku seisi keluarga sedang tidur.

Jelasnya, siasatan awal ke atas ibu bapa mangsa mendapati ketika kejadian mereka sedang tidur dan apabila ibunya terbangun, dia mendapati mangsa sudah berada di bahagian belebas jendela yang telah terbuka di ruang tamu. 

"(Ibunya) bagaimanapun tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah," katanya lagi.

Mangsa kanak-kanak lelaki telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai  perubatan yang sampai di lokasi.

Kes disiasat sebagai kejadian mati mengejut dan punca kematian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu Mohd Hafiz berkata, mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai berdekatan atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.