BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dipercayai akibat ditimpa dinding konkrit yang sedang dalam pembinaan di bahagian dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar bunyi dentuman kuat.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu kemudian bertindak menghubungi suaminya memaklum anak mereka ditimpan dinding mata dan tidak sedarkan diri.

"Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun sedang bekerja di sebuah kilang di sini manakala ibu kanak-kanak itu sedang memasak di dapur.

"Sebelum kejadian, ibu kanak-kanak lelaki itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka.

"Malah ibu mereka juga menyuruh mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun masuk ke dalam rumah namun mereka tidak diendahkan dan terus bermain di situ," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Shamsudin berkata, tidak lama kemudian ibunya kemudian terdengar bunyi sangat kuat dan lantas dengan itu, ibu kanak-kanak terbabit kemudian pergi ke tempat kejadian sebelum mendapati seluruh badan anaknya sudah ditimpa dinding bata.

"Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan namun hanya mengalami cedera ringan.

"Kemudian, ibu mereka meminta bantuan dari jiran bersebelahan rumah untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Tawar.

"Namun, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," ujarnya.

Shamsudin berkata, mayat kanak-kanak  itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.