Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak autistik dilaporkan hilang dalam kebun sawit ditemukan lemas

JBPM
Anggota bomba membawa mayat kanak-kanak autistik yang ditemukan lemas dalam parit di kebun sawit di Kg Baru Sg Sumun, Hutan Melintang, malam tadi. - Foto JBPM
Advertisement

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) autisme yang dilaporkan hilang di dalam kebun sawit ditemukan lemas dalam parit di kebun berkenaan di Jalan Aman, Kg Baru Sg Sumun, Hutan Melintang, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak polis pada jam 4.24 petang.

Menurutnya, pihak polis memaklumkan mengenai kehilangan Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah, 6, yang dipercayai hilang di kawasan kebun kelapa sawit.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya apabila mendapati mangsa tiada di dalam rumah dan pintu hadapan rumah berada dalam keadaan terbuka.

“Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh bapa mangsa di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran, namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya pada jam 3.30 petang.

Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta melibatkan agensi-agensi berkaitan dan juga dari bantuan orang awam.

Selain itu, ujarnya, pihak polis turut menggunakan seekor anjing pengesan (K9) bagi membantu operasi pencarian di sekitar kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah mangsa.

“Ketua operasi kemudiannya dimaklumkan bahawa mangsa telah berjaya ditemui oleh orang awam di dalam kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar jam 10.08 malam,” katanya.

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, bersama-sama 20 anggota polis dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) tamat jam 11.11 malam.

 

Must Watch Video

Advertisement