Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak diserang anjing liar terima suntikan vaksin rabies

Rosnani ketika mengimbas kejadian pada 9.30 pagi itu berkata Azuar Firdaus sedang bermain di pantai bersama tiga saudaranya sebelum mereka didatangi lima ekor anjing liar. -Gambar fail
Rosnani ketika mengimbas kejadian pada 9.30 pagi itu berkata Azuar Firdaus sedang bermain di pantai bersama tiga saudaranya sebelum mereka didatangi lima ekor anjing liar. -Gambar fail

Advertisement

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok pada Khamis lepas, menerima suntikan vaksin rabies dan kini dipantau selama kira-kira tiga minggu.

Ibu mangsa Rosnani Mat Salleh, 46, berkata anaknya Azuar Firdaus Zuraiman menunjukkan perkembangan positif hari ini selepas dua hari mendiamkan diri akibat masih trauma dengan kejadian itu.

“Dua hari selepas kejadian dia masih takut-takut dan tidak mahu bercakap. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan ada masanya menangis kerana masih berasa sakit akibat kecederaan yang dialaminya, terutama pada bahagian kepala dan leher.

“Alhamdulillah, hari ini keadaan dia semakin baik dan sudah mula bercakap. Kalau ditanya pun, dia sudah boleh jawab dan cerita semula apa yang berlaku masa kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Terdahulu, Rosnani dan anaknya menerima kunjungan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang diwakili Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid JPN Kelantan Norazan Mat Nor.

Rosnani ketika mengimbas kejadian pada 9.30 pagi itu berkata Azuar Firdaus sedang bermain di pantai bersama tiga saudaranya sebelum mereka didatangi lima ekor anjing liar.

Beliau berkata tiga saudaranya yang berusia antara dua hingga 11 tahun sempat melarikan diri, namun Azuar Firdaus terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri sebelum menjadi sasaran anjing berkenaan.

“Dia cuba menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam laut tetapi anjing itu masih mengejarnya sebelum seorang pekerja datang membantu dan menyelamatkannya. Dia seperti sedar tidak sedar selepas kejadian itu. Dia mengalami kecederaan pada kepala dan leher, termasuk kesan gigitan, selain belakang badan dicakar dan tangan digigit anjing berkenaan,” katanya.

Rosnani berkata anaknya menjalani pembedahan kira-kira lima jam sehari selepas kejadian bagi merawat kecederaan berkenaan, selain menerima beberapa jahitan.

Beliau berkata Azuar Firdaus turut menerima suntikan vaksin rabies dan dijangka terus menjalani pemantauan dari semasa ke semasa dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

Sementara itu, Norazan berkata pihaknya mengambil maklum kejadian yang dipercayai pertama kali melibatkan pelajar sekolah diserang anjing liar sehingga cedera parah manakala mangsa kini menunjukkan perkembangan positif dan dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement