MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan positif dadah dipercayai termakan gula-gula mengandungi bahan terlarang itu, yang disyaki milik seorang pempengaruh media sosial.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata hasil siasatan awal mendapati gula-gula itu dibeli oleh suspek lelaki berusia 39 tahun yang tinggal bersama ibunya, yang juga pengasuh kepada mangsa.
Advertisement
“Suspek mendakwa membeli gula-gula itu dari negara jiran sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk di rumah ibunya.
“Bagaimanapun, tanpa disedari kanak-kanak berkenaan yang gemar memakan gula-gula telah mengambil dan memakannya sebelum mangsa didapati tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata mangsa tidak sedarkan diri walaupun telah beberapa kali dikejutkan, menyebabkan kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital untuk rawatan.
Beliau berkata semasa serbuan yang dijalankan di rumah suspek, gula-gula yang dimaksudkan tidak ditemui.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang positif dadah jenis tetrahydrocannabinol atau ganja.
Dzulkhairi dilaporkan berkata suspek yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan direman tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung lima hari lagi hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA