NATIONAL
Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam inap desa

Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan ditemukan lemas di dalam kolam mandi sebuah inap desa di Teluk Kumbar, malam tadi. - Foto Sinar Harian
BALIK PULAU: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan ditemukan lemas di dalam kolam mandi sebuah inap desa di Teluk Kumbar di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu dijumpai terapung dan tidak sedarkan diri di dalam kolam itu oleh bapanya pada 10.38 malam sebelum bertindak menghubungi ambulans.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Balik Pulau, namun pada 11.40 malam doktor mengesahkan dia meninggal dunia.
"Berdasarkan hasil siasatan, pengadu (bapa mangsa) berusia 46 tahun telah membawa tiga anaknya itu ke inap desa berkenaan untuk berjumpa rakannya. Isteri pengadu tidak ikut bersama kerana bekerja."Kira-kira 10.15 malam, rakan pengadu menyedari kanak-kanak itu tiada di dalam bilik, kemudian pengadu bersama rakannya bergegas mencari kanak-kanak itu di kawasan inap desa sebelum menemukannya terapung di kolam mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Balik Pulau dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah kerana lemas.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami