KOTA BHARU: Nasib malang yang menimpa kanak kanak berusia 4 tahun yang tertelan dadah jenis Metaphitamine mendapat perhatian Istana Kelantan.

Perkembangan kanak kanak itu dikuti oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid iaitu bonda Sultan Muhamad V.

Keprihatinan Tengku Anis disampaikan menerusi Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Muhammad Zaki pada hari ini menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sumbangan Tengku Anis kepada ibu kanak kanak itu, Rohaya Hassan.

Selain itu, Persatuan Keluarga Polis Kelantan (Perkep) turut menyampaikan sumbangan yang disampaikan Pengerusinya, Datin Suzana Yashin.

Sumbangan tersebut bagi meringankan beban keluarga berkenaan yang terdiri daripada keluarga asnaf.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memaklumkan, keadaan kanak-kanak tersebut bertambah baik hari ini dengan tiub penafasan sudah ditanggalkan.

“Alhamdulillah (mangsa) sudah beri respon dan bernafas (secara) normal, tidak ada bantuan oksigen.

“Kita harap semakin pulih (dan) berita semalam dapat perhatian istana dan Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan, Tengku Anis telah perkenan memberi kurniaan kepada mangsa dan keluarga ini,” kata Muhammad Zaki.

Beliau turut berkata, kanak kanak itu akan dipindahkan ke Hospital Kuala Krai dalam masa terdekat bagi memudahkan keluarga menemaninya.

Sementara itu, Rohaya berterima kasih kepada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib anak bongsunya termasuk pihak polis dan Istana Kelantan.

Jelas Rohaya, anak bongsunya itu sudah mula sedar sejak semalam dengan kesihatannya bertambah baik pagi ini.

Pihak hospital juga membenarkan anaknya dipindahkan ke Hospital Kuala Krai untuk memudahkannya menjaga selain membolehkan ahli keluarga lain datang melawat.

Kanak-kanak itu mendapat perhatian media selepas didapati dalam tubuhnya mengandungi dadah.

Susulan itu, bapa sepupunya ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Jun lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.