Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM bakal menerima secara berperingkat kapal misi pesisir, Littoral Mission Ship (LMS) mulai 2019.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata ini merupakan kontrak kerajaan yang paling cepat dimeterai dengan komitmen tinggi kepimpinan Malaysia dan China.

Beliau pada masa sama menolak dakwaan bahawa kapal LMS berkualiti rendah, sebaliknya ia merupakan aset paling efisien malah boleh diubah suai mengikut keperluan misi.

"Sebab tu kita hantar pegawai kita ke China bagi memastikan kualiti standard yang dipersetujui dalam kontrak ditepai seratus peratus.

"Apa yang penting, pemindahan teknologi berlaku seperti mana yang tertakluk dalam kontrak projek yang membolehkan kita bina kapal tersebut di Lumut selepas ini," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pasukan projek LMS di KD Sri Gombak, pada Jumaat.

Pasukan projek LMS terdiri daripada tujuh pegawai dan lima anggota lain-lain pangkat dari pelbagai kepakaran dijadual berlepas pada Sabtu ke Wuhan, China selama 37 bulan.

Katanya, kapal LMS juga boleh digunakan secara fleksibel mengikut kesesuaian operasi, termasuk bagi tujuan pertempuran.

“Kapal LMS ini, kalau kita ikut dari segi reka bentuknya, dia boleh diubah suai mengikut keupayaan dan keperluan di masa akan datang. Untuk masa ini, tugasnya hanya melaksanakan pengawasan sempadan maritim dan kapal ini juga boleh diletakkan peluru berpandu dan boleh dijadikan kapal perang.

“Kapal LMS ini juga tidak memerlukan pembiayaan tinggi seperti Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal perang. LMS ini boleh memenuhi 80% keupayaan LCS dan kos operasinya juga lebih rendah,” katanya lagi.

Kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai secara rundingan terus di antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac lalu.

Bagi tujuan pembinaan kapal LMS, BNSSB dengan kerjasama China Shipbuilding Offshore and International Corporation akan melaksanakan pembinaan dua buah LMS di Wuhan Shipyard, China dan diikuti dua buah lagi di Lumut.