Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataan didakwa berbaur hasutan.

Karpal Singh, diiringi Penasihat DAP Lim Kit Siang, membuat laporan itu di balai polis Tun H.S Lee di sini pada kira-kira 12 tengah hari.

Beliau menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Akta Hasutan kerana didakwa sebagai berkata di Kuala Besut, Terengganu pada 14 Julai lepas bahawa beliau (Karpal Singh) boleh menjadi presiden pertama Malaysia jika pengundi di Kuala Besut membenarkan DAP mengawal Putrajaya melalui PAS.

Pengundi di Kuala Besut akan mengundi pada 24 Julai dalam pilihan raya kecil untuk memilih Anggota Dewan Undangan Negeri berikutan kematian wakil rakyat mereka Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas.

BN mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu dengan PAS. Lim menyifatkan kenyataan Tajuddin sebagai semberono dan menghasut.