KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa gagal menyelesaikan isu kartel dan amalan rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga didakwa masih belum mengambil sebarang pendirian tegas berhubung perkara itu meskipun ia sudah dibincangkan secara umum.

“Saya berpendapat bahawa kedua-dua isu ini merupakan masalah serius yang mempunyai kesan negatif kepada PDRM.

“Perdana Menteri harus memainkan peranan dalam hal sebesar ini untuk meyakinkan rakyat bahawa tindakan akan diambil untuk bersihkan PDRM daripada masalah kartel dan rasuah dan juga untuk kukuhkan lagi Jabatan Integriti dengan segera,” katanya dalam kemas kini di laman Facebook, hari ini.

Jelas peguam itu lagi, perkara itu juga tidak dapat dibahaskan di Dewan Rakyat memandangkan negara masih dalam Proklamasi Darurat.

“Jika tidak, sudah pasti saya dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang lain akan membangkitkannya di Dewan Rakyat,” tambahnya.

BACA: Kartel PDRM: Segerakan RUU IPCC, jangan tangguh - Suhakam

BACA: Individu terlibat dalam kartel dikenal pasti, sudah tidak dapat 'bergerak' - KPN

Sehubungan itu, Gobind yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia mengemukakan 10 soalan kepada Perdana Menteri.

Berikut adalah soalan tersebut:

1. Adakah benar wujudnya kartel dan budaya rasuah dalam PDRM sepertimana didedahkan oleh KPN?

2. Adakah ia melibatkan pegawai-pegawai kanan polis sepertimana didedahkan?

3. Sekiranya benar, bukankah rasuah itu perkara dalam bidang kuasa SPRM?

4. Kenapa tiada tindakan oleh SPRM dalam perkara ini?

5. Adakah benar bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard cuba lindungi salah laku polis sepertimana didakwa?

6. Sekiranya benar, apakah tindakan yang akan diambil dan bila untuk menangani perkara ini?

7. Ada permintaan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini dan memberi cadangan berkenaan tindakan yang perlu diambil. Apakah pendirian kerajaan berkenaan perkara ini?

8. Apakah status siasatan dalaman yang diumumkan setakat ini?

9. Adakah kerajaan bersetuju bahawa kes-kes rasuah boleh dan harus disiasat secara dalaman dan adakah ini polisi baru kerajaan PN?

10. Sekiranya tidak, adakah benar bahawa kes ini disiasat secara dalaman oleh PDRM sahaja dan sekiranya ya, kenapa ia berbeza dengan kes-kes lain?