NIBONG TEBAL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggesa semua lapisan masyarakat terutama belia terbabit secara aktif dalam aktiviti penanaman pokok bakau bagi mencapai sasaran sejuta pokok dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, ketika ini hanya sekitar 300,000 pokok bakau ditanam di pesisir pantai di seluruh negara dan sasaran sejuta pokok perlu dicapai menjelang 2030.

Katanya inisiatif menanam pokok bakau perlu dilaksanakan secara berterusan kerana pokok tersebut mampu berperanan untuk mencegah hakisan dan memelihara ekosistem demi kehidupan nelayan dan generasi akan datang.

"Hari ni kita sasar tanah 500 pokok, di Sungai Acheh ini 180,000 kita sasarkan. Kementerian sasar satu juta (pokok), itu yang kita sasar di seluruh Malaysia.

"Sekarang ini saya ingat dalam 30 peratus ditanam. Maknanya hanya 300,000 pokok daripada satu juta disasarkan. Kita perlu capai dalam beberapa tahun, sampai 2030," katanya.

Mansor berkata demikian pada majlis penanaman pokok bakau di Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh, Nibong Tebal pada Sabtu.

Sempena program itu, sebanyak 500 anak pokok bakau ditanam hasil Inisiatif Belia Prihatin Alam Sekitar Bersama MGTC (Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memberitahu, setakat ini sebanyak 180,000 pokok bakau ditanam di pesisir pantai Sungai Acheh hasil inisiatif nelayan dan badan bukan kerajaan sejak 20 tahun lalu.

Untuk itu, penglibatan lebih ramai anggota masyarakat terutama belia penting dalam memastikan sasaran sejuta pokok bakau ditanam tercapai.

"Kita harapkan yang masyarakat terlibat bersama dalam usaha kita menjaga kelestarian alam sekitar sebab dengan tema kita tahun ini tema kementerian kita yang alam sekitar ini adalah tanggungjawab bersama," katanya lagi.

Selain KASA, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut menjalankan kegiatan penanaman pokok bakau di lokasi terpilih manakala MGTC mengadakan program hiliran berhubung pemeliharaan ekosistem dengan kerjasama penduduk setempat.