ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas 2.35 juta batang rokok keretek dan putih dipercayai diseludup bernilai RM1 juta dalam serbuan di sebuah kedai di Shah Alam, Selangor pada 9 Jan lepas.

Pengarah Kastam negeri Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata serbuan dilakukan Unit Bahagian Penguatkuasaan Kastam Johor susulan laporan yang diterima berhubung premis itu yang dipercayai dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok tidak bercukai.

"Dipercayai, rokok terbabit diseludup dari negara jiran Indonesia. Usaha bagi mengesan pemilik premis berkenaan juga sedang giat dilakukan," katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata operasi itu tidak melibatkan sebarang tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Aminul Izmeer berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki mengedar dadah melibatkan rampasan sebanyak 14 kilogram methamphetamine bernilai RM542,709 di Durian Tunggal, Melaka pada 14 Feb lepas.

Beliau berkata kesemua dadah itu disembunyikan di dalam 14 bungkusan yang diletakkan di dalam sebuah kereta Toyota Vios.

"Selain bungkusan itu, ada juga tiga bungkusan gula seberat tiga kilogram dan dua bungkusan bahan kimia barium sulfat seberat dua kilogram di dalam kereta berkenaan.

"Dipercayai, modus operandi kes ini ialah membawa dadah menggunakan kenderaan bersama (barang lain seperti) gula untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA