Skip to main content

Malaysia

Kastam Perlis gagalkan cubaan seludup kanabis bernilai lebih RM4 juta

KANGAR, 6 Mac -- Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Ismail Hashim ketika sidang media mengenai kejayaan pasukannya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis kanabis seberat 136.504 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4,179,740 dalam serbuan di kawasan tepi batu, Jalan Pesisir Pantai, Ruat di Yan, Kedah pada 22 Feb lepas.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim ketika sidang media mengenai kejayaan pasukannya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis kanabis seberat 136.504 kilogram (kg) dalam serbuan di Yan, Kedah pada 22 Feb lepas. - Foto Bernama

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis kanabis seberat 136.504 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4,179,740 dalam serbuan di kawasan tepi batu, Jalan Pesisir Pantai, Ruat di Yan, Kedah pada 22 Feb lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata bertindak atas maklumat, pada 12.30 tengah hari pasukan operasi daripada Cawangan Penguatkuasaan/Marin JKDM Kuala Perlis membuat serbuan di kawasan itu dan menemukan enam bungkusan plastik hitam ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Advertisement

“Pemeriksaan rapi terhadap kesemua bungkusan mendapati terdapat 79 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan berat sebanyak 87.54 kilogram dan bernilai RM262,620.

“Turut dijumpai adalah 90 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki bunga kanabis dengan berat sebanyak 48.964 kilogram dan bernilai RM3,917,120,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Ismail berkata kanabis itu disyaki diseludup masuk dari Thailand dengan modus operandi dipercayai meninggalkan bungkusan berisi dadah di kawasan pesisir pantai sebelum dipungut individu lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Jumlah keseluruhan rampasan kanabis itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 204,000 penagih sekiranya terlepas dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Ismail berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merampas dua motosikal jenis Harley-Davidson disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM57,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM45,030 dalam pemeriksaan di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor pada 2.30 petang, 26 Feb lepas.

“Sebuah motosikal bernombor pendaftaran Malaysia manakala sebuah lagi tanpa nombor pendaftaran. Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran motosikal tersebut adalah palsu,” katanya yang juga memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

Must Watch Video