MALAYSIA
Kastam rampas 1,964 tan besi sekerap bernilai RM9.17 juta di PKFZ

Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata kesemua barangan itu dirampas menerusi beberapa siri pemeriksaan dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC) selama dua bulan bermula Mei. - Foto BERNAMA
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1,964 tan besi sekerap bernilai RM9.17 juta selepas menahan 83 kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) baru-baru ini.
Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata kesemua barangan itu dirampas menerusi beberapa siri pemeriksaan dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC) selama dua bulan bermula Mei.
Beliau berkata siasatan awal mendapati logam itu diimport masuk tanpa permit dari beberapa negara di benua Amerika, Eropah serta Asia dan dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan dalam negara.
"Pemeriksaan mendapati dagangan berkenaan telah diikrar sebagai aluminium aloi, bahan aluminium, aluminium mentah, komponen komputer dan logam berharga di dalam Manifes dan Borang Kastam 1."Pengimportan besi sekerap tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) di bawah Butiran 5, Bahagian 1, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Azhar berkata JKDM Selangor turut merampas 221.7 tan gelung keluli bernilai RM1.29 juta selepas menahan lapan kontena berukuran 6.09 meter di PKFZ.
Beliau berkata kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Jun dengan dagangan diikrarkan sebagai perabot dan tilam di dalam Borang Kastam 1.
"Pemeriksaan menjumpai Prime Pre-Painted Steel Coil (gelung keluli) yang dipercayai diimport tanpa permit untuk kegunaan industri dalam negara dan dikenakan duti antilambakan sebanyak 52.1 peratus selaras dengan Perintah Kastam (Duti Anti-Lambakan)(Kajian Semula Pentadbiran)(No.2) 2021.
"Kuantiti keseluruhan gelung keluli yang dirampas sebanyak 62 gelung dengan nilai anggaran RM769,434 manakala duti serta cukai sebanyak RM516,290 dan kes masih lagi disiasat," katanya.
Mohamad Azhar berkata pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup lampu dan pembesar suara mudah alih, cerut dan tembakau, rokok putih serta bijih timah bernilai RM4.37 juta termasuk duti dan cukai melalui rampasan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Utara sepanjang Mei hingga awal Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami