BATU PAHAT: Hidayah Centre Batu Pahat, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mualaf di daerah ini, mengambil pendekatan berbeza meraikan Aidilfitri dengan melaksanakan program yang turut melibatkan mereka yang bukan beragama Islam.

Timbalan Pengerusi NGO berkenaan Muhammad Ridhuan Tew Abdullah berkata pihaknya tergerak untuk membuat program yang dikenali sebagai Aidilfitri Culture Open House 2024 itu sebagai platform pendedahan, sekali gus memberikan kefahaman erti sebenar satu daripada perayaan utama umat Islam.

Sebelum ini katanya, terdapat beberapa kenalan bukan beragama Islam terkeliru sebab utama Aidilfitri diraikan sehinggakan ada yang menyangka ia merupakan sambutan tahun baharu seperti Tahun Baharu Cina.

"Itulah sebabnya NGO ini mengadakan program yang berunsurkan pendidikan mengenai Aidilfitri, termasuklah sebab ia disambut serta beberapa perkara yang berkaitan dengannya seperti pakaian, makanan, aktiviti kebudayaan serta lagu-lagu yang sering diputarkan ketika lebaran.

"Peserta program ini melibatkan semua peringkat umur bermula daripada kanak-kanak sehinggalah ibu bapa mereka," katanya kepada Bernama pada program berkenaan yang diadakan di Batu Pahat Mall di sini hari ini.

Program yang diadakan selama dua hari bermula semalam itu turut mendapat kerjasama daripada Home School 'Alice Has a Farm', Batu Pahat Mall, Pantai Hospital Batu Pahat, Southern Volunteers (SV) Batu Pahat dan Pertubuhan Tari Ronggeng BP serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram Gan Peck Cheng.

Menurut Muhammad Ridhuan, mereka yang terlibat dalam program terbabit turut didedahkan dengan demonstrasi masakan kuih tradisional masyarakat Melayu yang cukup popular pada hari raya iaitu kuih semperit.

Katanya, mereka juga turut berpeluang melihat demonstrasi penyediaan ketupat, malah lebih istimewa masing-masing dapat merasai sendiri pengalaman menganyam ketupat, memasukkan beras ke dalam kelongsong ketupat serta memasak rendang dan kuah kacang.

"Selain itu, kanak-kanak yang menyertai program ini turut didedahkan dengan pakaian tradisi yang sering dipakai ketika Aidilfitri, demonstrasi pemakaian tudung, selain didendangkan dengan beberapa lagu yang bertemakan hari raya.

"Program ini dilihat bukan sahaja memberikan pendedahan mengenai Aidilfitri kepada bukan Muslim, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan dalam masa yang sama saling menghormati agama serta budaya sesama kita," katanya.

Muhammad Ridhuan berkata program itu ialah kesinambungan kepada program yang telah diadakan sebelum ini pada bulan Ramadan, ketika itu mereka yang bukan beragama Islam turut didedahkan dengan keistimewaan Ramadan serta berpeluang berbuka puasa bersama-sama mereka yang beragama Islam.

-- BERNAMA