KUALA LUMPUR : Kementerian Beli dan Sukan (KBS) melancarkan laman sesawang khusus bagi mendapatkan senarai pemberian bantuan yang diluluskan oleh KBS yang mana boleh diakses mulai Selasa (2 Mei 2023).

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, seiring dengan pendekatan Malaysia MADANI, KBS percaya inisiatif ini adalah platform terbaik bagi meningkatkan tata kelola melibatkan dana kerajaan.

"Menteri KBS, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli juga bersetuju untuk menyenaraikan kelulusan yang telah diberikan di bawah Peruntukan Khas Menteri dan Timbalan Menteri.

"Melalui usaha ini, KBS berharap dapat memberikan perkhidmatan yang telus, tertib dan teratur, seterusnya memperkasakan pembangunan belia dan sukan di negara ini.

"Usaha ini juga menyokong pendigitalan di sektor awam yang akan memangkinkan amalan pengurusan data yang terkini, sistematik dan komprehensif yang mana boleh diakses dengan mudah oleh orang awam dalam satu ekosistem yang telus dan terbuka," jelasnya.

Untuk tahun 2023, sehingga 2 Mei, sebanyak 32 permohonan telah diberikan kelulusan melibatkan peruntukan sebanyak RM880,050.00.

Senarai kelulusan penerima bantuan akan dikemaskini dan dimuat naik dari semasa ke semasa bagi rujukan dan semakan oleh orang ramai terutamanya di kalangan pemegang taruh belia dan sukan.

Ia juga sebagai sebahagian komitmen KBS untuk menjalinkan kerjasama strategik dan menyokong pemegang taruh terutamanya melibatkan pemerkasaan pembangunan belia dan sukan.

Kerjasama dan sokongan ini merangkumi pertimbangan pemberian bantuan dana dan peruntukan bagi membiayai aktiviti-aktiviti berkaitan pembangunan belia dan sukan yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar secara sah di Malaysia terutamanya Badan Sukan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Pertubuhan Belia yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).