Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Kaukus Parlimen menangani perjudian bagi menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh terutama perjudian secara digital.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk dijadikan terma rujukan sekiranya kaukus itu dilaksanakan kelak.

"KDN memandang positif cadangan ini kerana kaukus ini melibatkan penyertaan semua pihak merentasi perbezaan ideologi politik, agama dan budaya dan saya ucapkan terima kasih kepada semua anggota Parlimen (yang membuat cadangan) untuk bersama-sama mengatasi masalah perjudian," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kementerian komited membendung aktiviti perjudian yang kini boleh dilakukan melalui telefon bimbit, tabloid, komputer riba dan desktop.

Katanya antara modus operandi yang digunakan oleh sindiket perjudian bagi mencari pelanggan baharu adalah dengan mempromosikan perjudian melalui media sosial dan ia dikesan sejak tahun lalu.

"Kita juga telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan telah menggunakan peranti khas atau special device yang dikenali sebagai 'box SMS Frequency spice' yang boleh mengesan nombor telefon yang menghantar 30,000 SMS dalam tempoh satu jam pada jarak sejauh 2km," katanya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang mengumpul maklumat mengenai penglibatan pihak tertentu yang menjual data kepada pihak sindiket selain bekerjasama dengan SKMM dan syarikat telekomunikasi (Telco) bagi menyekat laman web dan talian telefon yang mempunyai jaringan dengan kasino dan aplikasi menerusi telefon bimbit.

"PDRM juga mengadakan siri perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Air negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi pengkuatkuasaan untuk meminda undang-undang selain tindakan lain yang bersesuaian dengan kaedah yang dilakukan," katanya.

Katanya ia termasuk untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memerlukan sokongan semua anggota Parlimen selain pendekatan kerohanian menerusi kempen kesedaran membendung masalah judi.

Mengenai pusat perjudian haram yang berselindung disebalik lesen pusat hiburan keluarga, Ahmad Zahid berkata KDN tidak pernah mengeluarkan mana-mana lesen perjudian kerana ia dikeluarkan oleh PBT.

Mengulas lanjut, beliau berkata PBT dan kerajaan negeri khususnya Selangor dan Sarawak turut digesa menghentikan pengeluaran lesen baharu bagi mengelak munculnya lebih banyak pusat perjudian haram yang berlindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga

Menjawab soalan Alice Lau Kiong (DAP-Lanang) tentang operasi Balai Polis Lanang, Sarawak ditutup pada waktu malam, Ahmad Zahid berkata ia bagi menjaga keselamatan anggota polis daripada ancaman pengganas termasuk Daesh.

"Dalam berek berkenaan ada stor penyimpanan senjata, jika buka, khuatir kerana ada dua peristiwa pengganas mencuri senjata seperti di Perak dan Lahad Datu, Sabah," katanya.

-- BERNAMA